Punca tragedi bot berlanggar disiasat LSS

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

LIMBANG, Sept 28: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan menyiasat tragedi pertembungan antara dua bot hingga meragut empat nyawa di Sungai Simpang Tiga di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Supt Mohd Bukhori Saffai, memberitahu penyiasatan kes tersebut kini di bawah bidang kuasa LSS.

“Punca kejadian tragedi yang mengorbankan empat nyawa iaitu dua rakyat Malaysia dan dua rakyat Brunei Darussalam ini akan disiasat oleh LSS,” katanya hari ini.


DayakDaily sebelum ini melaporkan insiden perlanggaran membabitkan sebuah bot penambang dan bot laju di Sungai Simpang Tiga, dekat Kampung Limpa Ku Pinang di sini semalam telah meragut empat nyawa penumpang bot berkenaan.

Pasukan mencari dan menyelamat membawa mayat mangsa.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu telah mengakibatkan dua rakyat tempatan dan dua warga Brunei Darussalam disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami mereka.

Mangsa iaitu lelaki tempatan yang terkorban dalam insiden berkenaan adalah Awang Syukri Awangku Rizan, 7, dan Mohd Nazmi Marali, 21.

Manakala dua rakyat Brunei Darussalam yang maut dikenal pasti sebagai dan Sanah Lisa, 60, dan Rosmawati Manaf, 47. — DayakDaily