Pukul kepala ipar guna paip PVC, seorang lelaki ditahan

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Julai 16: Gara-gara bergaduh sesama sendiri, seorang lelaki cedera di kepalanya akibat dipukul dengan paip PVC dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Sim Kheng Hong di sini.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu telah mengakibatkan seorang mangsa berusia 50 tahun dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Juracakap polis berkata, siasatan awal mendapati insiden tersebut membabitkan dua ipar yang pada mulanya hanya bertengkar sahaja.

Bagaimanapun, kemuncak pertengkaran mereka apabila kedua-dua lelaki berkenaan bergaduh dengan salah seorang lelaki kemudian menggunakan sebatang paip PVC untuk memukul kepala mangsa.

“Kesan pukulan itu telah mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan pada kepalanya sebelum ahli keluarga lain meleraikan insiden pergaduhan tersebut,” katanya hari ini.

Sementara itu kata jurucakap sama, suspek kemudian menyerahkan diri di Pusat Sehenti Balai Polis Simpang Tiga di sini untuk siasatan lanjut.

Katanya, susulan kejadian tersebut suspek telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan serius.

“Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat,” ujarnya lagi. — DayakDaily