PRU15: Roy ajak pelobi kerusi Parlimen Lubok Antu bersama di dalam jentera PRS

Roy (kiri) beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di Pasar Lubok Antu baru-baru ini.

KUCHING, 25 Okt: Calon potensi Parti Rakyat Sarawak (PRS) di kerusi Parlimen Lubok Antu Roy Gingkoi mengalu-alukan pelobi-pelobi lain untuk bersama jenteranya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pelobi-pelobi ini adalah ahli PRS dan adalah penting bagi semua untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar nanti.

“Antaranya adalah Timbalan Pengerusi PRS Pujut Jamba Jamal yang turut berkata akan menyokong sesiapa sahaja calon parti di kerusi Parlimen Lubok Antu nanti.


“Ini memang dialu-alukan, saya harap beliau memegang kata-kata ini dan bekerjasama dengan jentera saya bila tiba pilihanraya ini nanti.

“Begitu juga dengan Martin John, beliau turut melobi kerusi ini dan saya mengalu-alukan beliau di dalam jentera saya,” kata Roy ketika dihubungi hari ini.

Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum pada September lepas telah mengumumkan bahawa Roy adalah calon parti di kerusi Parlimen Lubok Antu.

Pada majlis yang diadakan di Buyong Panjai di Engkilili itu, Salang berkata Roy adalah satu-satunya nama yang dipilih PRS.

Dalam pada itu, Roy yang juga Pengerusi PRS Engkilili berkata, persediaan bagi menghadapi PRU15 (hari penamaan calon, kempen dan hari mengundi) sudah diatur.

Katanya, pada minggu lepas satu mesyuarat telah diadakan bersama jentera Engkilili, seterusnya satu lagi mesyuarat akan di akan dengan jentera Lubok Antu minggu depan.

Menurut beliau lagi, perasmian jentera GPS juga akan diadakan sebelum tarikh penamaan calon 5 November ini.

“Saya telah melawat beberapa rumah panjang dan juga bertemu dengan rakyat di pekan Engkilili dan Lubok Antu.

“Semua jadual dan perancangan sudah ada, dan ia akan dipertingkatkan menjelang hari penamaan calon serta sepanjang tempoh berkempen,” ujar Roy. — DayakDaily