PRU15: Keharmonian PRS digugat jika calon luar dipilih, kata Roy

Roy Gingkoi

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Okt: Meletak calon bukan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Parlimen Lubok Antu bakal mengugat keharmonian di dalam Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Menurut pengerusi PRS Engkilili Roy Gingkoi, ia akan berlaku jika calon luar seperti penyandang kerusi tersebut dipilih mewakili GPS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.


Katanya, permohonan penyandang Jugah Muyang untuk menyertai semula PRS telah ditolak kerana beliau didapati telah melanggar perlembagaan parti.

“Beliau telah menentang PRS (parti beliau sendiri sebelum ini) dan ia melanggar peraturan perlembagaan parti.

“PRS adalah sebuah keluarga besar; cubit paha kiri-paha kanan juga terasa, atau dengan kata lain ‘you touch one, you touch all’,” katanya ketika dihubungi.

Justeru tambah Roy, PRS Engkilili dan Batang Ai tidak akan menerima penyandang kembali dalam parti.

Tegas beliau, kemasukan semula penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu juga bakal mengugat keharmonian keseluruhan PRS.

Dalam pada itu, Roy yang juga calon potensi di kerusi Parlimen Lubok Antu menyanjungi komitmen Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meletakkan GPS diutamakan.

Katanya, Abang Johari sebagai pengerusi GPS adalah seorang pemimpin bersifat inklusif yang sentiasa menekankan bahawa setiap calon adalah calon GPS.

“Premier Sarawak mahukan inklusiviti. Tiada perkataan calon ini mewakili PRS, PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) atau PDP (Parti Demokratik Progresif), tetapi mereka adalah calon GPS.

“Maksudnya semua empat parti ini mesti sehaluan. PRS tidak dapat bekerja tanpa PBB, PDP dan SUPP, begitu juga sebaliknya,” ujar Roy.

Tambah beliau, GPS adalah melambangkan satu gabungan kuat yang ada di Sarawak yang bakal menjadi ‘kingmaker’ pada PRU15. — DayakDaily