PRU15: Golongan belia di nasihat memilih dengan bijak

Sim ketika ditemui di Program Gotong Royong dan Kempen Beli Balik.

KUCHING, 15 Okt: Pengerusi SUPP Stakan Dato Sim Kiang Chiok menasihati golongan belia berumur 18 tahun ke atas memilih dengan bijak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, calon yang dipilih nanti adalah seorang yang akan mewakili suara mereka.

“Calon ini akan mewakili pandangan, melaksanakan impian dan aspirasi anda.

“Pilihlah calon yang sanggup merealisasikan semua ini.

“Dengan Undang-Undang baharu ini, ia adalah untuk kita semua dan generasi seterusnya,” kata Sim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Gotong Royong dan Kempen Beli Balik anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Pusat Komersial RH Park di Batu 9 hari ini.

Dewan Rakyat pada 2019 telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan menentukan tarikh penting bagi PRU-15 pada 20 Okt ini. — DayakDaily