PRU14: Pertandingan 3-penjuru di Serian

Riot (dua dari kiri) bersama calon bebas, Senior (kiri) dan calon DAP, Edward (dua dari kanan) selepas diumumkan sebagai calon yang layak bertanding pada pilihanraya umum ini di kawasan Parlimen Serian.

SERIAN, April 4: Kerusi Parlimen Serian akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan calon bebas pada hari pengundian Mei 9 depan.

Calon BN terbabit, Dato Sri Richard Riot Jaem dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan ditentang calon DAP, Edward Andrew Luwak dan calon bebas, Senior William Rade selepas ketiga-tiga mereka mengemukakan borang pencalonan kepada pegawai pengurus pusat pencalonan Parlimen Serian, Lim Hock Meng di Pejabat Daerah Serian, di sini, hari ini.

Riot berkata beliau menjangkakan pertandingan satu lawan satu dengan calon pembangkang tetapi pertandingan tiga penjuru bersama calon bebas, namun tidak begitu risau mengenainya kerana jentera BN di Serian sudah bersedia sepenuhnya sejak sebulan lepas.


“Saya amat yakin (boleh menang), tetapi tidak boleh terlalu yakin dan mesti bekerja keras mulai hari ini, bagi memastikan saya tidak menghampakan rakyat (Serian) dan dapat berkhidmat untuk mereka lagi,” katanya yang sudah diberikan kepercayaan Ketua Menteri dan Perdana Menteri kali ketujuh menjadi calon BN bagi kawasan Parlimen Serian.

Riot juga menyelar pembangkang sebagai buta kerana menyatakan Serian tidak ada pembangunan di bawah BN, sedangkan semua rakyat kawasan itu tahu yang Serian terlalu banyak pembangunan dengan terbaharu sedang dibina Institut Latihan Perindustrian (ILP) Serian sekitar 200 meter dari pusat penamaan calon terbabit.

“Itu adalah hasil kerja saya sebagai Menteri Sumber Manusia sebelum ini, dan ia (ILP Serian) akan siap pada 2021, dan dengan itu penduduk Serian, saya yakin, akan bersedia bagi menghadapi cabaran perindustrian 4.0,” katanya dan menambah menjelang 2027 hampir 65 peratus peluang pekerjaan akan memerlukan pekarja yang mendapat latihan teknikal dan vokasional.

Riot (tengah, memakai topi) bersama penyokong BN selepas diumumkan sebagai calon yang layak bertanding pada pilihanraya umum ini di Parlimen Serian.

Sementara itu, calon DAP Edward, 65, berkata ini merupakan kali ketiga beliau menjadi calon pilihanraya dan akan mengunakan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi meraih sokongan penduduk luar bandar Serian yang ramai golongan petani.

“Ini kerana GST amat membebankan semua rakyat Malaysia termasuk penduduk luar bandar seperti di Parlimen Serian yang hanya berpendapatan sebagai petani,” katanya yang merupakan pesara kerajaan berasal dari Kampung Paon Sungai Rimu.

Selain itu, beliau juga akan membangkitkan isu Hospital Serian yang terlalu ramai pesakit kerana memberikan perkhidmatan kesihatan kepada 250,000 orang penduduk Serian dan perlu dinaiktaraf kerana kekurangan banyak kemudahan serta perlu digantikan mesin X-ray yang usang.

Disamping itu Serian memerlukan pembinaan satu lagi sekolah menengah baru berikutan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian yang sesak dengan pelajar sehingga ada sesi pagi dan petang dan khuatir kesesakan terbabit menjejaskan pembelajaran mereka.

Manakala calon bebas, Senior, 58, pula memilih bertanding kerana mahu meningkatkan pendapatan kalangan keluarga petani di Parlimen Serian mengunakan pengalamannya sebagai bekas Pengurus Kanan, Pertubuhan Peladangan Negeri Sarawak.

“Saya sudahpun meletak jawatan dalam pertubuhan itu yang kini ada sekitar 12,000 ahli di sekitar Parliman Serian,” katanya yang berasal dari Taiee.

Katanya ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam pilihanraya dan akan mengunakan simbol ikan pada kertas undi serta berharap golongan petani di Serian yang ramai mengenalinya dapat memberi undi kepadanya. — DayakDaily