PRU14 peluang Sarawak menjadi ‘kingmaker’ di Parlimen — Dr Sim

Dr Sim (tengah) pada sidang media di bilik gerakan SUPP Batu Kawah.
Advertisement

KUCHING, Mei 3: Rakyat Sarawak harus merampas peluang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘kingmaker’ di dalam Parlimen.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Stampin, Datuk Dr Sim Kui Hian menegaskan kedudukan itu hanya dapat dicapai dengan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) negeri di semua 31 kerusi.

“Sudah tiba masanya untuk Sarawak merampas peluang menjadi ‘kingmaker’ setelah 55 tahun kita tidak mempunyai suara yang kuat di Parlimen.

Advertisement

“Dengan kuasa besar ini, negeri kita tidak akan ditindas lagi kerana kita boleh mengatakan ‘tidak’ kepada perkara yang tidak memberi kepentingan kepada Sarawak,” katanya pada sidang media bilik gerakan SUPP Batu Kawah, di sini.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menambah hanya BN Sarawak yang akan dapat membentuk kerajaan Malaysia pada PRU14 ini, kerana diyakini menang di sekurang-kurangnya 25 kerusi.

Namun demikian, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu menyeru rakyat Sarawak agar memastikan BN negeri menang di semua kerusi, bagi menguatkan lagi suara Sarawak di peringkat persekutuan.

“Tanpa BN Sarawak, tidak ada siapa yang dapat menubuhkan kerajaan, namun untuk kita menjadi ‘kingmaker’ dalam Parlimen, BN Sarawak harus menang di semua kerusi kerana jika kalah di satu kerusi sekali pun, maksudnya kita sudah kurang satu suara di Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Dr Sim turut menempelak Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhubung dakwaan seramai 2,500 pekerja asing dibawa masuk ke Parlimen Stampin untuk mengundi.

Beliau menjelaskan mereka yang terbabit bukanlah pekerja asing tetapi merupakan anggota polis dan tentera yang telah mendaftar untuk mengundi di konstituensi itu sebelum ini, dan adalah tentera dan polis di mana senarai tersebut telah ditetapkan mengundi di Stampin pada Dis 31.

“Malah tiada pertambahan pengundi yang dibawa masuk, jumlahnya tetap sama sejak dulu lagi sehingga sekarang yang terdiri daripada anggota polis dan tentera,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan isu yang dimainkan DAP itu sebagai taktik kotor parti pembangkang berkenaan untuk meraih simpati pengundi.

Katanya lagi, DAP sepatutnya merujuk perkara tersebut kepada SPR untuk pengesahan dan bukannya menyebarkan maklumat yang tidak betul kepada orang ramai. — DayakDaily

Advertisement