PRS miliki calon berwibawa di DUN Baleh, kata Abdul Karim

Kelihatan Abdul Karim pada sidang media di Kompleks Sukan Asajaya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 1 Nov: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Parti Rakyat Sarawak (PRS) boleh mengenalpasti calon berwibawa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.

Katanya, perjuangan bekas Adun yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing harus diteruskan supaya kawasan tersebut sentiasa terjaga.


“Kita tahu bahawa DUN Baleh adalah kubu kuat GPS dan sebelum ini Barisan Nasional (BN).

“Ia adalah kubu kuat PRS dan tidak dapat digugat, kita mahu melihat ia kekal sebagai kubu kuat PRS,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Program “Asajayaku Prihatin, Komuniti Sejahtera” 2021 di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berharap GPS boleh meneruskan pimpinan cara Masing yang telah menjaga parti tersebut dengan baik.

Pada masa yang sama, katanya, Masing telah membawa pembangunan di kawasan yang dijaga oleh wakil rakyat PRS.

“Ini menjadi teras utama kepada sesiapa yang menjadi presiden yang memimpin parti itu di masa akan datang,” ujar Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Di sidang media itu, Abdul Karim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Masing yang disifatkan beliau sebagai seorang pejuang rakyat.

“Mendiang merupakan seorang anak jati Sarawak yang jiwanya adalah untuk Sarawak daripada pandangan dan tegurannya di dalam Kabinet.

“Mendiang diingati sebagai pejuang untuk masyarakat Dayak khususnya dari sudut pendidikan, pembangunan serta tuntutan tanah hak adat Bumiputera.

“Kita akan merindui beliau di dalam Kabinet. Komuniti Iban kehilangan seorang pemimpin yang baik,” kata Abdul Karim. — DayakDaily