Abdul Karim jangka PRN12 hujung tahun ini

Abdul Karim(empat dari kiri) menyampaikan cek UNIFOR kepada wakil Chapel St Barnabas, Kampung Sampun Gerunggang

ASAJAYA, 1 NOV: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah membayangkan Pilihanraya Negeri Ke12(PRN12) diadakan di penghujung tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan berkata, Yang di-Pertuan Agong akan melihat kepada situasi Covid-19 yang melanda negeri yang semakin baik sekarang.

“Proklamasi Darurat yang diisytiharkan akan tamat pada hujung bulan Januari 2022 dan pilihanraya mesti diadakan.

“Tetapi Agong, sekiranya melihat keadaan jangkitan Covid-19 semakin baik boleh menamatkan darurat lebih awal.

“Saya percaya Agong boleh dan saya rasa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun ini,” katanya pada Perasmian Program “Asajayaku Prihatin, Komuniti Sejahtera” 2021 di Kompleks Sukan Asajaya hari ini.

Tambah Abdul Karim, pilihanraya sepatutnya diadakan sebelum bulan Jun tahun ini kerana tempoh Dewan Undangan Negeri(DUN) tamat pada 7 Jun 2021.

Katanya, bila tamat tempoh DUN mesti diadakan pilihanraya tetapi disebabkan negara dan negeri di landa pandemik Covid-19 Proklamasi Darurat telah diisytiharkan Agong.

Pada program itu, Abdul Karim yang juga ADUN Asajaya turut menyampaikan cek daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain(UNIFOR) sebanyak RM400,000 kepada Chapel St Barnabag, Kampung Sampun Gerunggang.

Turut menerima cek adalah Tua Pek Kong Beliong berjumlah RM300,000. — DayakDaily.