SIBU, 24 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui Parti Rakyat Sarawak (PRS) kini telah menjadi sebuah parti yang matang.
Menurut beliau, ahli-ahli PRS dilihat memberi kepentingan kepada parti dan juga perjuangan parti untuk bersama-sama dengan komponen parti lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Ini penting untuk membawa Sarawak ke satu tahap pembangunan yang lebih tinggi dari pelbagai sudut,” katanya pada sidang media selesai merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Ke-5 PRS di sini, hari ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menambah, PRS memiliki pengalaman di dalam aspek pembangunan yang berlaku di luar bandar.
Katanya, ia boleh dimasukkan ke dalam rancangan pembangunan yang lebih besar bagi membantu Sarawak menuju ke arah Negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.
“Oleh sebab itu saya ucapkan tahniah kepada seluruh pimpinan dalam GPS yang telah dapat melahirkan satu pasukan yang akan membawa PRS bersama-sama dengan rakan kita dalam gabungan GPS.
“Ini akan memberi input kepada dasar dalam pembangunan secara menyeluruh, lebih lebih lagi kepada masyarakat luar bandar.
“Sudah ada dalam pimpinan tertinggi PRS yang mempunyai inklusiviti di mana mereka memainkan peranan masing-masing untuk meneruskan usaha pembangunan yang hendak kita laksanakan,” kata Abang Johari. — DayakDaily