PRS Cawangan Engkilili sokong Roy Gingkoi sebagai calon kerusi Parlimen Lubok Antu

Lapok Asoi

KUCHING, 21 Mac: Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Engkilili dalam Mesyuarat Agung pada Ahad mengemukakan resolusi menyokong Roy Gingkoi sebagai calon PRS bagi kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihanraya Umum Ke-15 nanti.

Timbalan Pengerusi PRS Engkilili Lapok Asoi turut mengemukakan resolusi agar permohonan MP Lubok Antu Jugah Muyang untuk menyertai semula parti ditolak.

“Jugah telah berpaling tadah terdahulu dan tidak pernah membantu kedua-dua calon DUN Engkilii dan DUN Batang Ai di bawah naungan Parlimen Lubok Antu ketika PRN yang lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Setiausaha PRS Engkilili Awang Said Awang Dollah mengatakan bahawa sehingga ke hari ini PRS Cawangan Engkilili tidak pernah menerima borang pemohonan penyertaan Jugah.

Katanya, ini termasuk sebarang arahan dari PRS Pusat berkenaan dengan penyertaan Jugah ke PRS Cawangan Engkilili.

Pada mesyuarat itu, Roy secara sebulat suara dipilih tanpa bertanding sebagai Pengerusi PRS Engkilili bagi tahun 2022 hingga 2025. — DayakDaily