Proton Waja dan lori 10 tan bertembung, lelaki maut akibat cedera parah

Kelihatan keadaan kemalangan membabitkan sebuah Proton Waja dan lori 10 tan di di KM45, Jalan Bukit Begunan, Sri Aman.

SRI AMAN, Jun 12: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Waja yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di KM45, Jalan Bukit Begunan di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.55 pagi itu mengakibatkan mangsa, Pang Siaw Ming, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat tersepit selain mengalami kecederaan parah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, William Baheng berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada pukul 10.57 pagi.


Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian diarahkan untuk ke lokasi nahas bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, anggota bomba mendapati pemandu kereta berkenaan masih dalam tersepit dan dalam keadaan tidak bernyawa lagi.

“Pemandu lori 10 tan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Impak pertembungan kuat telah mengakibatkan kereta Proton Waja tersebut remuk teruk,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily