Proses tender terpilih, kaedah percepat bangunkan SSLR — TPM Fadillah

Fadillah (empat dari kiri) di Perasmian Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang, Limbang. Foto: TVS
Advertisement

KUCHING, 21 Mei: Kerajaan sedang mengenal pasti pendekatan terbaik untuk mempercepatkan perlaksanaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) melalui kaedah tender terpilih, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut laporan TVS, Fadillah berkata, satu perjumpaan bersama Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim bakal diadakan untuk memperincikan kaedah-kaedah perlaksanaan bagi mempercepatkan pembinaan SSLR.

Katanya, pada masa ini kerajaan menggunakan tender antarabangsa untuk melaksanakan projek berkenaan; ekoran itu proses tender akan mengambil masa setahun.

Advertisement

“Saya bersama dengan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi akan terus memantau untuk memastikan projek ini akan terus dilaksanakan secepat mungkin.

“Malahan saya sedang mengatur sekali lagi perjumpaan bersama Perdana Menteri untuk memperincikan kaedah-kaedah perlaksanaan bagaimana kita nak percepatkan kalau tender ini terpaksa dilaksanakan secara antarabangsa.

“Tempoh paling cepat proses tender itu akan mengambil masa satu tahun. Jadi ini yang kita hendak elakkan dan sedang mencari kaedah supaya dapat dipercepatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2023 di Kampung Lubok Sigantang, Limbang, pada Sabtu (20 Mei).

Jelas Fadillah lagi, pihaknya juga bersama Nanta sedang memperincikan keadah tender terpilih untuk mempercepatkan projek itu kepada Kementerian Kewangan supaya kontraktor tempatan akan berpeluang untuk terlibat sama dalam kerja pembinaan SSLR.

“Kaedah perlaksanaan kalau ikut perbincangan saya dengan Nanta dan Perdana Menteri, beliau hendak mempercepatkan menggunakan kaedah tender terpilih, cuma dari segi Kementerian Kewangan (MOF) ada sedikit cabaran.

“Sebab bila kita sudah menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), iaitu perjanjian perdagangan dalam rantau negara dunia ini jadi kita juga kena membuka tawaran mana-mana projek yang bernilai lebih daripada RM370 juta juga dibuka tawaran secara tender terbuka kepada negara-negara menjadi anggota CPTPP itu.

“Jadi ini yang menjadi cabaran dan sedang diperincikan oleh MOF bagaimana kaedah untuk kita boleh keluar dari landasan tersebut supaya kontraktor tempatan akan dapat juga mengambil peluang,” ujarnya.

Sementara itu katanya, peruntukan bagi pembinaan Lebuh Raya Trans Borneo sudah diluluskan dan ia nya menjadi pilihan kepada rakyat di utara Sarawak sama ada melalui Brunei ataupun mengggunakan SSLR tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam apabila siap kelak.

Malah katanya, kerajaan amat memahami kesukaran dan cabaran yang dilalui rakyat di utara Sarawak yang terpaksa menggunakan passport untuk melalui negara jiran selain berdepan masalah lain. — DayakDaily

Advertisement