Proklamasi Darurat, tiada pemerintahan tentera dan perintah berkurung-PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Jan: Tiada pemerintahan tentera dan perintah berkurung menerusi Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya jelas beliau, kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat bagi membendung pandemik Covid-19.

“Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan rakyat tidak lumpuh.

“Jentera pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat,” katanya pada
Perutusan khas Darurat hari ini.

Tambah Muhyiddin, dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut
Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga akan mematuhi apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

“Sepanjang tempoh darurat ini, Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.

“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan Seri Paduka Baginda bagi tujuan membendung wabak Covid-19.

“Ini merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit Covid-19,” ujarnya. — DayakDaily