Projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat Dijangka Siap 2024

Karim (kiri) mengadakan lawatan ke tapak Pusat Penjaja Tambirat

Chris Bishop

KUCHING, 2 Nov: Projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat yang giat dilaksanakan dijangka siap menjelang tahun 2024.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap ADUN Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek tebingan sungai tersebut menelan kos sebanyak RM23 juta.


Menurutnya, ia juga akan membangunkan kawasan Asajaya sebagai destinasi baharu tarikan pelancong.

“Kawasan ini akan menjadi salah satu daya tarikan terbaharu pelancong tempatan dan pelancong luar bagi daerah Asajaya.

“Ianya akan menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu bagi golongan belia melakukan aktiviti riadah dan sukan air,” katanya menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Semalam Karim yang juga Menteri Belia Dan Sukan telah mengadakan lawatan Ke Tapak Projek Pusat Penjaja Tambirat dan Projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat.

Sementara itu, beliau memberitahu, projek pusat penjaja yang dibangunkan dengan kos RM7.5 juta dijangka siap dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Katanya, apabila siap kelak, pusat penjaja tersebut mampu menempatkan kira-kira 80 penjaja tempatan.

“Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) merupakan agensi pelaksana bagi projek pembinaan Pusat Penjaja Tambirat, manakala pembinaan projek kawasan Tebingan Sungai Kampung Tambirat adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID),” katanya.

Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat serta wakil dari MPKS dan juga pihak (DID). — DayakDaily