Projek tebingan sungai baru dari Kampung Sg Bedil ke Kampung Tanjong

Abang Johari (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah Samariang Walk di majlis perasmian acara Fiesta Samariang.

KUCHING, 5 Jan: Kerajaan negeri akan melaksanakan projek pembinaan tebingan sungai baru dari Kpg Sungai Bedil sehingga Kpg Tanjong bermula tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata projek terbabit sedang dalam proses pengeluraran tender secara terbuka kepada pihak pemaju swasta yang berminat.

“Sebelum ini, pembinaan tebingan sungai dari Kampung Sungai Bedil hingga Kampung Tanjong ini telah dirancang kerajaan pusat, tetapi malangnya project ditarik semula disebabkan kekurangan sumber kewangan pembinaanya.


“Berikutan itu, kita akan membinanya melalui peruntukan kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan Fiesta Samariang di Simpang Empat, Kampung Lintang, di sini hari ini.

Abang Johari tidak mendedahkan kos projek terbabit tetapi beliau memberi jaminan akan memberi peruntukan khas dari kerajaan negeri bagi melaksanakan projek itu supaya pembinaanya tidak menjejaskan rumah penduduk kampung termasuk di Kampung Lintang.

Pemandangan Masjid Terapung Kuching dari Kpg Lintang di seberang sungai.

”Tiada menjejaskan rumah (penduduk kampung), ini kerana kita akan menimbus tanah kehadapan (dari tebing sungai), lebih kurang sepuluh kaki masuk ke dalam sungai.

“Setelah siap ditimbus, kawasan tebingan sungai baharu terbabit akan dihiasi dengan pokok dan pelbagai lanskap menarik,” katanya.

Beliau berharap tebingan sungai baru itu nanti bukan sahaja mencantikkan pemandangan di sebarang Tebingan Kuching yang menjadi tempat tarikan pelancongan di bandaraya ini, malahan juga menyediakan kawasan riadah dan bersenam yang selesa kepada penduduk kampung.

Sementara itu, mengenai projek Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan yang juga akan dibiayai pembinaannya oleh kerajaan negeri, Abang Johari berkata projek terbabit sudahdalam proses dikeluarkan tender. — DayakDaily