KUCHING, Jun 16: Semua projek tebatan banjir yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, termasuk projek yang dicadangkan dan diluluskan di peringkat Kementeri Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum ini yang masih di bawah ‘Keep in View’ (KIV) berkemungkinan besar tidak dilaksanakan.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia bukan sahaja membabitkan project di Sarawak sahaja tetapi juga seluruh Malaysia.
“Semua projek yang dicadangkan, sama ada bakal atau sudah diluluskan namun belum mendapat sumber kewangan walaupun telah dibincang secara umum, ini memang terus hilang atau belum tahu kedudukannya.
“Apa pun, kita tunggu pelantikan menteri yang menjaga sumber asli dan alam sekitar dulu,” katanya ketika ditemu-bual sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau, hari ini.
Selain itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut menyifatkan semua projek yang dirancangnya di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang belum mendapat sumber kewangan tetapi secara prinsip diluluskan, juga pasti ‘hilang cerita’.
Bagaimanapun, katanya bagi projek yang sudah ditender dan diserahkan kepada kontraktor termasuk yang sedang dalam penilaian walaupun belum dianugerahkan, akan diteruskan.
“Ini saya dapat kepastian daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID). Ada yang akan bermula dalam masa terdekat,” katanya. — DayakDaily