Projek SSLR Fasa 2 dan LTB telah diluluskan secara prinsip, kata Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 14 Mac: Cadangan pelaksanaan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dan projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) telah mendapat kelulusan secara prinsip berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022.

Menurut Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof, pembangunan infrastruktur tersebut menjadi keutamaan dan perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Pelaksanaan SSLR Fasa 2 dan Projek LTB akan menambahbaikkan jaringan jalan raya di Sarawak dan melengkapkan jaringan jalan raya ke negeri Sabah dan negara Brunei Darussalam.

Advertisement

“Ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan, pemangkin pembangunan sosioekonomi dan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat bagi penduduk di Sarawak khususnya,” katanya pada sesi penggulungan di sidang Parlimen hari ini.

Tambah Fadillah, bagi cadangan pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2, ia melibatkan 3 pakej dengan jumlah keseluruhan yang dianggarkan adalah sepanjang 326km.

Katanya, paket pertama melibatkan pembinaan jalan sepanjang 137km, pakej 2 kedua 98km dan pakej 3 sepanjang 91km.

Manakala bagi cadangan pembinaan projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) pula ia melibatkan 3 seksyen dengan jumlah keseluruhan jajaran lebih kurang 96.35km.

“Seksyen Miri adalah sepanjang 4.95km, Seksyen Limbang sepanjang 57.3km dan Seksyen Lawas sepanjang 34.1km,” katanya.

Dalam pada itu Fadillah yang juga MP Petra Jaya berkata, Kementerian sedang menyusun strategi pembangunan rangkaian jalan raya terkini susulan pengesahan perpindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara.

Menurut beliau, salah satu daripada projek yang dikenal pasti adalah Projek Lebuhraya Trans Borneo jajaran Kalabakan-Serudung yang merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuh Raya Trans Borneo.

“Kementerian akan meneliti cadangan projek Lebuh Raya Trans Borneo jajaran Kalabakan-Serudung ini dan akan mempertimbangkan untuk diangkat kepada Agensi Pusat di dalam Rolling Plan yang akan datang.

“Ia tertakluk kepada keutamaan projek dan ketersediaan siling peruntukan pembangunan Kementerian ini,” katanya. ― DayakDaily

Advertisement