Projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) diguna pakai di Klinik Kesihatan Tanjung Embang

Wan Junaidi (tiga dari kanan) ketika menyempurnakan majlis perasmian SPAH di Klinik Kesihatan Tanjung Embang.

KUCHING, Mei 6: Projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) kini dilaksanakan di Klinik Kesihatan Tanjung Embang, yang terletak dalam kawasan Santubong.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kaedah tersebut diguna pakai untuk memberi penjimatan air peringkat komuniti kepada pengguna di klinik berkenaan.

“Projek ini akan memberikan faedah kepada hampir 5,000 penduduk melibatkan tiga buah kampung dalam kawasan Parlimen Santubong iaitu Kampung Beradek, Kampung Semilang dan Kampung Tiang Api,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian SPAH di Klinik Kesihatan Tanjung Embang, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi ketika berucap turut mengumumkan perangan kerajaan bagi projek Rancangan Tebatan Banjir di Kampung Beradek dan Kampung Semilang bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, projek tersebut sudah diluluskan dan akan menelan kos sebanyak RM7 juta di mana kerja awal pelaksanaannya dijangka dilaksanakan pada Januari tahun depan.

Justeru, beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Santubong menyeru rakyat di konstituensi berkenaan agar terus memberikan mandat kepadanya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Katanya, mandat berterusan yang diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat di situ akan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak lagi projek-projek pembangunan yang memanfaatkan penduduk.

“Saya amat menghargai sokongan rakyat di Parlimen Santubong kepada saya selama ini di mana sokongan inilah yang memberi kekuatan kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya. — DayakDaily