Projek Sistem Bekalan Air Tanjong Manis Pakej 1 hingga 7 tangani isu bekalan air

Julaihi (lapan kanan) semasa Lawatan Kerja ke Loji Rawatan Air Tanjong Manis. Foto: UKAS

KUCHING, 5 Feb: Projek Sistem Bekalan Air Tanjong Manis Pakej 1 hingga 7 yang telah siap akan menjadi penyelesaian kepada masalah bekalan air yang dihadapi di kawasan Kuala Rajang dan Tanjong Manis.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, Loji Rawatan Air Tanjong Manis di bawah Pakej 6 juga telah siap.

Apabila beroperasi sepenuhnya katanya, ia dapat membekalkan air bersih selepas memproses air mentah yang disalurkan dari Pakej 1 iaitu kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit.


Ujar Julaihi, kos keseluruhannya menyediakan Loji Bekalan Air Tanjong Manis ialah berjumlah RM17 juta.

“Kita berharap ia akan menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan air di sini. Cuma beri sedikit masa untuk kita membolehkan Loji Bekalan Air Tanjung Manis ini dapat beroperasi sepenuhnya.

“Kos keseluruhannya RM17 juta untuk membaik pulih dan membetulkan komponen-komponen yang perlu ditukar, kita perlu memastikan nya dapat digunakan dan keseluruhan projek adalah baik di mana paip besar lama belum diguna pakai.

“Mereka perlu mengadakan pemeriksaan dan menguji sistem paip yang ada bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna untuk pengoperasian tersebut,” katanya kepada media semasa Lawatan Kerja ke Loji Rawatan Air Tanjong Manis pada Sabtu.

Tambah, apabila Loji Rawatan Air Pakej 6 dapat pulih sepenuhnya, beliau percaya usaha untuk memulihkan paip sekarang tidak banyak masalah.

Katanya, kawasan itu akan menerima dua sumber air termasuk Loji Rawatan Air Bayong yang masih juga menyalurkan bekalan air ke kawasan itu.

“Loji Rawatan Air Tanjong Manis 30 MLD dan Loji Rawatan Air Bayong 70 MLD akan ditingkatkan kepada 100 MLD.

“Maknanya dikira 130 MLD itu banyak dan menjadi penyelesaian masalah bekalan air di kawasan ini,” tambah beliau. — DayakDaily