Projek RTP memenuhi keperluan rakyat Demak Laut

Dr Hazland (empat kiri) menyerahkan cek sebagai dana tahunan kepada Jawatankuasa Kemajuan JKKK Kampung Goebilt semalam.

KUCHING, 19 Jun: Sejak mula dilaksanakan di Sarawak, Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bukan sahaja menyediakan pembangunan kepada rakyat di kawasan luar bandar, tetapi juga memenuhi keperluan dan kehendak rakyat di seluruh negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata walaupun kosnya tidak besar, tetapi pelaksanaannya memenuhi aspirasi rakyat terutama dalam menyelesaikan permasalahan penduduk setempat.

“Hari ini kita melihat Projek Pembinaan Sistem Perparitan yang bernilai RM230,000 di Kampung Goebilt merupakan sebahagian daripada Projek RTP Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang dilaksanakan atas permintaan rakyat.


“Melihat kepada keperluan dan permintaan tersebut yang perlu disegerakan, projek pembinaan sistem perparitan ini telah dimasukkan ke dalam senarai RTP DUN Demak Laut 2019 dan dilaksanakan pada tahun 2020.

“Kini, projek tersebut telah siap dan memberi manfaat kepada penduduk kampung terutama dalam melancarkan aliran perparitan selain menyelesaikan masalah banjir kilat,” katanya semasa ditemui selepas melakukan Walkabout Projek RTP Sistem Perparitan Kampung Goebilt dan Penyampaian Dana Tahunan Kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Goebilt semalam.

Dalam pada itu, Dr Hazland turut menyampaikan dana tahunan kepada JKKK Kampung Goebilt yang diterima Ketua Kaum Mohtar Gane.

“Setiap tahun, saya menyediakan dana tahunan kepada setiap JKKK di kawasan DUN Demak Laut yang digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung.

“Pada hari ini, di mana kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), JKKK masih boleh memikirkan aktiviti yang sesuai untuk dilaksanakan di peringkat kampung dengan mengekal dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP).

“Amalkan norma hidup baharu bagi mencegah penularan wabak pendemik Covid-19,” tambah beliau.

Turut hadir Penghulu Udin Damit dan ahli-ahli PBB Ranting Goebilt. —DayakDaily.