Projek RM1.2 juta Pusat Penjaja Kampung Baru dijangka siap Jun ini

Rubiah (lapan dari kiri) bersama kakitangan MPKS yang melawat tapak Projek Pusat Penjaja Kampung Baru, Samarahan berhampiran Jambatan Batang Samarahan di Muara Tuang, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, Feb 20: Projek Pusat Penjaja Kampung Baru, Samarahan yang sedang dibina dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta terletak berhampiran Jambatan Batang Samarahan, Muara Tuang, di sini, dijangka akan siap Jun tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata demikian dengan pusat penjaja terbabit adalah perlu bagi menempatkan penjaja tepian jalan yang gerai mereka tidak terurus sekitar Muara Tuang terutama di jalan menuju jambatan itu yang boleh menyebabkan berlakunya kesesakkan lalulintas.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan peruntukan projek rakyat di kawasan Muara Tuang ini. Projek ini amat penting bagi menempatkan penjaja tepian jalan di kawasan ini yang sekarang tidak terurus,” katanya ketika bersama Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) yang menjadi agensi pelaksana projek tersebut mengadakan lawatan ke tapaknya, di sini, hari ini.


Rubiah berkata projek Pusat Penjaja Kampung Baru terbabit dibawah Projek Transformasi Luar Bandar 2018 bermula Disember 21 tahun lepas dan kontraktornya diberikan tempoh enam bulan atau sehingga Jun tahun ini bagi menyiapkan pembinaan. Setakat ini projek sudah sekitar 30 peratus siap pembinaanya.

“Sebelum ini, kami tidak menjangka apabila siap pembinaan jalan (menuju Jambatan Batang Samarahan) ini, ramai peniaga (tepian jalan) dari luar akan masuk (ke Muara Tuang) dan kita tidak dapat melaksanakan seperti apa yang telah dirancang,” katanya.

Ketika ini sudah ada tapak deretan gerai penjaja tepian jalan menuju Jambatan Batang Samarahan yang terpanjang dikenali penduduk sekitar sebagai “Serikin 2” dan dianggarkan tapak terbabit ada seramai 50 penjaja menjual makanan dan hasil pertanian.

Tapak deretan gerai penjaja tepian jalan yang terpanjang dikenali penduduk sekitar sebagai “Serikin 2” di jalan menuju Jambatan Batang Samarahan di Muara Tuang, Kota Samarahan.

Manakala dari lawatan bersama MPKS terbabit ke tapak projek pusat penjaja terbabit yang hanya tiga kilometer dari tapak Serikin 2, Rubiah mendedahkan yang pihaknya telah diberi jaminan pihak kontraktor yang projek itu mungkin boleh disiapkan lebih awal dari tempoh pembinaanya atau seawalnya Mei depan.

“Namun, sekiranya projek ini siap Jun depan, kita mensasarkan akan mula menempatkan kalangan peniaga tepian jalan di kawasan ini ke pusat penjaja ini sekitar Julai depan iaitu selepas perayaan Hari Raya (Aidilfitri),” katanya.

Beliau berkata Pusat Penjaja Kampung Baru,Samarahan itu ada sebanyak 60 lot gerai yang akan mencukupi bagi memindahkan semua 50 peniaga tepian jalan di tapak Serikin 2 dengan pusat terbabit selain tidak menganggu lalulintas juga dilengkapi banyak kemudahan terutama bekalan air, elektrik dan tempat letak kenderaan.

“Malahan ramai penduduk kampung berdekatan juga memohon diberikan lot gerai pusat terbabit, tetapi kami mahu memberikan keutamaan kepada peniaga tepian jalan kawasan ini bagi memindahkan mereka ke tempat lebih selesa dan selamat,” katanya.

Rubiah berkata selepas menempatkan semua penjaja tepian jalan ke pusat terbabit, baharulah pihaknya akan meneliti permohonan penduduk kampung berkenaan bagi memastikan lot gerai pusat itu hanya diberikan kepada yang mereka memang benar mahu berniaga. — DayakDaily