Projek rintis fertigasi terung asam kawasan DUN Nangka berhasil

Buah terung asam di projek rintis fertigasi terung asam di kawasan DUN Nangka.

KUCHING, 7 Ogos: Projek perintis penanaman terung asam secara fertigasi di kawasan DUN Nangka yang bermula tiga bulan lepas kini berjaya mengeluarkan hasilnya.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Dr Annuar Rapaee mendedahkan projek terbabit dimulakan Tuai Rumah Eddy Jemat sejak April lalu dan beliau baharu-baharu menuai hasil pertama projek itu yang dibawah initiatif DUN Nangka.

“Ini satu projek rintis atau pilot project fertigasi terung asam di Sibu yang kini sudah terbukti berjaya,” kata Dr Annuar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, dalam catatan Facebooknya semalam.


Beliau berkata pertanian moden yang cekap seperti ini sangat penting pada zaman ini kerana seseorang pekebun mampu mengeluarkan hasil pertanian dalam jumlah yang tinggi dengan menggunakan keluasan tanah kecil selain menggunakan tenaga kerja minimum.

Sementara itu Eddy berkata beliau menanam lebih 200 pokok buah terung terbabit dan menjangkakan sekurangnya dapat memperolehi sehingga 200 kilogram buah itu dalam tempoh sebulan atau empat kali menuainya.

“Buah terung ini tidak besar, tiga biji sahaja sudah seberat sekilogram, saya mensasarkan menuai buah ini sekurangnya sehingga empat kali,” katanya.

Katanya kaedah penanaman secara fertigasi terbabit tidak memerlukan kawasan tanah yag besar dan sesuai diusahakan penduduk rumah panjang di luar bandar ataupun di bandar.

Eddy berkata terung asam juga mempunyai harga yang baik di pasaran ketika ini dan beliau mengalakan masyarakat Iban atau bumiputra lain menanam sayuran terbabit.-DayakDaily