Projek perparitan untuk tangani banjir kilat di Tudan Desaras 6B akan siap Julai ini

Lee (paling kiri) melawat tapak projek perparitan di Tudan Desaras 6B, Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 7 Mei: Isu banjir kilat di kawasan Tudan Desaras 6B yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu bakal tamat selepas projek perparitan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 oleh Kerajaan Negeri siap dibina pada Julai ini.

Projek perparitan konkrit yang berukuran 80 meter panjang x 1.5 lebar ini membabitkan jumlah kos asal RM100,000 di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Senadin, telah bermula pada 17 Mac tahun ini bagi menyelesaikan isi banjir kilat di kawasan terbabit.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senadin Datuk Lee Kim Shin, yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak, menjelaskan bahawa beliau turut berbincang dengan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Miri agar melaksanakan projek tambahan iaitu terus menyambungkan perparitan tanah ke sungai berhampiran untuk mengatasi masalah banjir.

Lee ditemui hari ini semasa mengadakan sesi lawatan ke tapak projek terbabit di Tudan Desaras 6B di sini.

Hadir sama penolong jurutera awam Jabatan Pengairan dan Saliran Miri, Umu Masitah Mahari. — DayakDaily