Projek pembinaan jalan baharu Long Lama boleh dipohon semula dalam RMK-12

Parliament of Malaysia crest. - file pic

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Projek pembinaan jalan baharu sepanjang 60 kilometer dari Long Lama ke tapak cadangan Empangan Baram boleh dipohon semula untuk dilaksanakan dalan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sekiranya isu terdahulu berhubung perlaksaan projek tersebut dapat diatasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata pembinaan jalan baharu dari Long Lama ke tapak cadangan Empangan Baram terpaksa dibatalkan perlaksanaanya susulan batahan daripada penduduk setempat.

“Susulan pembatalan projek terbabit, dana berjumlah RM588.3 juta bagi pelaksanaan projek itu tidak dapat disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda),” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau berhubung penyaluran dana bagi projek pembinaan jalan akses di kawasan Parlimen Baram.


Beliau berkata, projek pembinaan jalan baharu dari Long Lama ke tapak pembinaan empangan Baram melibatkan dua pakej dengan peruntukkan  keseluruhan berjumlah RM823 juta.

“Pakej A yang melibatkan penaiktarafan Jalan Beluru ke Tinjar, menaik taraf jalan sedia ada dari Simpang Jalan Miri-Bintulu ke simpang jalan masuk ke pekan Beluru dan menaiktaraf jalan sedia ada jalan dari Batang Tinjar ke Km 12 dan kesemua ini dalam Pakej A sudah siap dibina pada bulan Disember 2014.

“Bagi Pakej B pula, inilah yang melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 60km dari Long Lama ke tapak cadangan Empangan Baram tetapi pojek ini telah dibatalkan susulan bantahan penduduk setempat,” katanya. — DayakDaily