Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Sarawak ditangguh

Silhouettes of workers on a construction site. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Ogos 1: Pelaksanaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak yang menelan kos sebanyak RM191 juta akan ditangguhkan sehingga tahun depan.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan penangguhan itu dibuat selaras dengan arahan daripada Kementerian Kewangan.

Menurut Kementerian Kewangan, projek-projek yang masih belum dikeluarkan Surat Setuju Terima, maka urusan perolehan perlu ditangguhkan.


PLSB Sungai Sarawak merupakan antara 22 projek yang telah diluluskan dalam ‘Rolling Plan’ ke-3 2018 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Jumlah keseluruhan projek tersebut adalah berjumlah RM529 juta.

Antara lain, projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) Sibu Fasa 3 yang telah diluluskan dalam ‘Rolling Plan’ ke-2 RMK-11 dengan kos RM100 juta juga telah dikenal pasti sebagai salah satu projek yang perlu melalui proses penilaian Contract Coordination Panel (CCP) di peringkat kementerian berkenaan.

Projek tebatan banjir adalah tindakan bagi mengurangkan jumlah atau isi padu air sungai dari bahagian hulu sebelum memasuki pusat bandar-bandar utama.

Pelaksanaan projek itu adalah menerusi kaedah struktur dan bukan struktur, mewujudkan sistem ramalan dan amaran banjir serta mewujudkan jaringan stesen pengumpulan data hidrologi dan banjir. — DayakDaily