Projek mitigasi banjir di Tabuan Dayak perlu dilaksanakan secepat mungkin

Julian Tan ( kiri) dan Kelvin Yii (dua dari kiri) yang melawat kawasan Tabuan Dayak yang dilanda banjir kilat pada 18 Julai lepas.

KUCHING, 21 Julai: Kerajaan diminta mempercepatkan perlaksanaan projek mitigasi banjir bagi kawasan Tabuan Dayak di bandar raya ini dengan peruntukan sebanyak RM150 juta yang telah disalurkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Sarawak.

Penolong Khas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan Kok Ping berkata ini kerana sebelum ini Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii sudah mendesak supaya projek itu tidak lagi ditangguhkan apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan dalam tahun 2018.

Berikutan itu, tahun 2019 sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi tujuan melaksanakan projek terbabit yang kemudian disalurkan kepada JPS Sarawak.

“Saya juga diberitahu bahawa, proses tender (projek mitigasi banjir kawasan Tabuan Dayak) sepatutnya siap pada November 2019 dan daripada Disember 2019 hingga Disember 2020, kerja-kerja reka bentuk dengan pembelian tanah (bagi pelaksanaan projek) akan bermula,” katanya ketika membuat lawatan dan memeriksa perparitan di kawasan Tabuan Dayak dan disiarkan di laman Facebooknya, hari ini.

Tan berkata ini bagi membolehkan kerja projek terbabit yang juga merangkumi kerja menaiktaraf perparitan sekitar kawasan Tabuan Dayak yang kerap mengalami banjir kilat akibat hujan lebat boleh dimulakan awal 2021.

“Jadi, kita berharap projek ini akan dipercepatkan, sepatutnya pada masa sekarang proses reka bentuk perpatitan ini, mitigasi banjir ini dan pengambilan tanah ini seperti yang dikatakan tadi akan bermula,” katanya.

Katanya Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Yii juga akan terus meminta jawapan mengenai status ataupun keadaan projek mitigasi banjir Tabuan Dayak terbabit dari kerajaan pada persidangan Parlimen di Kuala Lumpur samada minggu ini ataupun minggu depan.

Sehubungan itu, Tan berharap projek terbabit tidak dilengahkan lagi dan mula dilaksanakan pada 2021 seperti yang dirancang sebelum ini dan projek terbabit akan mengambil masa selama empat tahun bagi disiapkan.

“Apabila siap akan sekaligus menyelesaikan masalah kejadian banjir kilat di Tabuan Dayak, supaya penghuni di sini tidak perlu risau lagi setiap kali ada berlaku hujan selama sejam dan banjir itu akan berlaku,” katanya.

Ini kerana beliau bersama Dr Yii telah mengunjungi kawasan Tabuan Dayak yang telah dilanda banjir kilat awal pagi 18 julai lepas akibat hujan lebat yang melanda bandar raya ini.

Selain itu, Julian juga meminta penduduk kawasan terbabit bekerjasama tidak membuang sampah ke dalam parit kerana itu juga boleh menyebabkan kawasan mereka di landa banjir.—DayakDaily

Keadaan perparitan berhampiran sungai di Tabuan Dayak hari ini.