Projek menaiktaraf parit di Desa Wira, Kpg Sinar Budi Baru dijangka siap dalam 6 bulan

Lo (dua dari kiri) dan Dr Sim (dua dari kanan) melawat tapak projek menaiktaraf parit di Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru.

KUCHING, Nov 25: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menjangkakan projek menaiktaraf parit bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru di Batu Kawa yang bermula awal bulan ini dijangka dapat disiapkan kontraktornya dalam masa enam bulan lagi.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata demikian selepas bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian dan Ketua Bahagian Kejuruteraan MPP serta penduduk kampung melawat tapak projek terbabit hari ini.

“Tempoh kontrak projek ialah dari November 2, 2018 sehingga April 1, 2019 iaitu selama enam bulan. Projek yang sedang berjalan ini adalah bagi menghapuskan banjir di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.


Lo berkata lawatan mereka ke Desa Wira dan Kampung Sinar Budi Baru adalah bagi melihat sendiri perkembangan projek itu yang menelan kos sebanyak RM821,854.

Katanya projek itu memlibatkan pembinaan parit baru selebar 2 meter yang sepanjang 83 meter dan empat laluan menyeberang selebar 1.2 meter dan tiga laluan menyeberang selebar 2 meter disamping penambahan pembentung sepanjang 3 meter kepada pembentung sedia ada di Lorong 5. — DayakDaily