Projek membina Jalan Igan ke Sibu dengan kos RM130 juta lulus — Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kiri) menyerahkan kunci Rumah Spektra Permata kepada salah seorang penerima di Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022. Foto: Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (Ukas)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Jun: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta bagi Projek Jalan Igan ke Sibu.

Menurut beliau, pembinaan jalan sepanjang 70 kilometer itu akan mengambil masa selama tiga tahun.


“Jalan Igan ke Sibu ini nanti bukan saja memberi manfaat kepada kawasan Igan, malah ia juga memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Bawang Assan.

“Ia juga bakal memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Bruit, maka kita telah minta Jabatan Kerja Raya untuk membuat penilaian kos.

“Disebabkan kesan pembinaan jalan ini memberi kesan yang mendalam kepada penduduk di sekitarnya, maka kita luluskan RM130 juta,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 di Pekan Matu hari ini.

Tambah beliau, Jalan Igan ke Sibu itu nanti juga akan disambungkan ke jalan pesisir menerusi Jambatan Igan yang sedang dalam pembinaan.

Justeru katanya, penduduk dari Kuching juga boleh menggunakan jalan tersebut untuk ke Sibu seterusnya ke Kapit.

“Jambatan Igan dibina dengan kos RM285 juta, maka jumlah keseluruhan yang dibawa ke Matu sepanjang tempoh empat tahun saya menjadi ketua menteri (premier) ialah RM500 juta,” katanya.

Pada lawatan kerja ke Matu hari ini, Abang Johari turut dijadual merasmikan Medan Selera Matu serta melakukan tinjauan ke Tapak Projek Matu New Township.

Beliau juga dijadual melakukan tinjauan ke Tapak Projek Rumah Spektra Permata di Kampung Tian, tinjauan ke Projek Pembinaan Benteng Hakisan dan Majlis Pecah Tanah Masjid Kuala Matu.— DayakDaily