Projek Jalan Ulu Lemanak-Ulu Engkari dikemukakan seawal RMK9, bukan hasil usaha MP sedia ada, kata Mussen

Mussen (dua dari kiri) pada sesi dialog bersama ketua-ketua masyarakat di Lubok Antu. Turut kelihatan Aidel (tiga dari kiri).

LUBOK ANTU, 23 Ogos: Cadangan pembinaan Jalan Ulu Lemanak ke Ulu Engkari sudah dikemukakan kepada kerajaan seawal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh yang juga Adun Batang Ai berkata, cadangan itu sudah ada dan telah disebut banyak kali di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, Mussen menyelar dakwaan MP Lubok Antu Jugah Muyang bahawa pembinaan jalan tersebut adalah hasil usaha beliau yang disifatkan bagi kepentingan politik dan peribadi.


“Dalam RMK9 hingga RMK11 di ketika itu saya masih bertugas sebagai seorang jurutera, cadangan pembinaan jalan Ulu Lemanak ke Ulu Engkari memang sudah ada.

“Ia telah disebut banyak lagi di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, maksudnya cadangan ini memang sudah didaftarkan di dalam kementerian berkaitan sejak dahulu lagi iaitu di era mantan Adun Batang Ai mendiang Datuk Dublin Unting,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama ketua-ketua masyarakat khususnya dari kawasan Nanga Kesit, Lemanak, Engkari dan Batang Ai di Dewan Sukan Lubok Antu hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo dan Jurutera Bahagian Sri Aman Ir Minjo Semading.

Sesi dialog bertujuan memberi penerangan berhubung pelaksanaan projek-projek kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sedang dilaksanakan di Lubok Antu.

Tambah Mussen, tidak salah bagi Jugah untuk bersama-sama bekerja memastikan semua projek dilaksanakan dengan lancar demi kebaikan penduduk.

“Tetapi beliau seharusnya tidak mengaku ia adalah hasil usaha beliau. Pemimpin lain juga sudah lama memohon termasuk mantan MP Datuk William Nyalau.

“Mantan Menteri Infratrusktur mendiang Tan Sri James Masing sudah tentu tidak mahu mendengar semua ini,” ujar Mussen.

Sementara itu, jelas beliau, kerajaan persekutuan memang bertanggungjawab menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan projek di negeri ini.

Namun katanya, pelaksanaan setiap projek adalah dibawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

“Dari sudut tapak, jika kerajaan Negeri tidak meluluskan maka tiada sebarang projek dapat dilaksanakan.

“Ini adalah hak kerajaan Negeri Sarawak,” tegas Mussen.

Pada dialog tersebut, beliau menyeru agar semua ketua masyarakat termasuk tuai rumah-tuai rumah untuk memberi kerjasama kepada pihak pelaksana projek.

Katanya, kerajaan memang membayar pampasan jika ia melibatkan pengambil alihan tanah rakyat dan tanaman.

Dalam pada itu, Aidel memaklumkan bahawa Projek Pembinaan Jalan Nanga Kesit-Ulu Lemanak-Engkari dengan kos RM35.7 juta dijangka siap pada penghujung tahun 2022 ini. — DayakDaily