‘Geng Oscar’ aktif curi kenderaan sejak Mac tumpas

Gambar di mana ahli geng Oscar ditangkap bersama rampasan motosikal.

KUCHING, 23 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching komited banteras kegiatan curi kenderaan dengan berjaya menumpaskan satu lagi sindiket dikenali sebagai ‘Geng Oscar’.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sindiket yang dianggotai lima warga asing tersebut tumpas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Siol Kandis baru-baru ini.

Katanya, dalam serbuan tersebut pihaknya berjaya merampas empat buah motosikal disyaki dicuri dan beberapa komponen motosikal yang dipercayai dileraikan daripada motosikal yang dicuri.


“Hasil tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan 12 kes kecurian motosikal di sekitar daerah Kuching.

“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak Mac 2022 dan kumpulan ini dianggotai lima warga asing berusia lingkungan 24 hingga 32 tahun,” katanya dalam satu sidang media di IPD Kuching hari ini.

Menurutnya, anggota serbuan turut menjumpai beberapa alat yang dipercayai digunakan sindiket ini melakukan jenayah.

“Kumpulan ini menggunakan alat pemutar skru yang telah diubahsuai berbentuk ‘T’ dan satu ‘master key’ serta beberapa alat perkakas yang lain,” katanya.

Modus operandi sindiket pula mendapati mereka akan menyembunyikan kenderaan yang dicuri di kawasan semak kemudian dibawa masuk ke negara jiran.

Suspek utama telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan lain-lain suspek dituduh dibawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

“Mereka turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal di Malaysia secara haram,” katanya.

Sementara itu, IPD Kuching turut melancarkan Op Lejang Khas sejak 9-22 Ogos dan telah berjaya menangkap 18 suspek berusia 13 hingga 42 tahun.

“Pasukan operasi juga berjaya menemui semula 13 buah kenderaan yang dicuri dan seorang daripada suspek didapati mempunyai 13 rekod jenayah lampau,” katanya.

Jelasnya, suspek mensasarkan kenderaan di lokasi sekitar kawasan kediaman dan parking awam bermula dari jam 4 pagi.

Sebanyak 14 kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan empat suspek telah dituduh di mahkamah.

Dua daripadanya juga telah dijatuhkan hukuman penjara.

Polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti melibatkan kecurian kenderaan. ā€” DayakDaily