Projek jalan menghubungkan Jambatan Samarahan, Sadong Jaya dan Batang Lupar dengan kos RM1.6 bln bermula – Aidel

Aidel (duduk dua tengah) mengadakan perbincangan dengan pegawai JKR pada lawatan tersebut.
Advertisement

SADONG JAYA, 20 Dis: Projek Jalan Utama 2 menghubungkan Jambatan Samarahan ke Jambatan Batang dan seterusnya ke Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1.6 bilion kini telah bermula.

Menurut Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo, jarak keseluruhan projek tersebut adalah 50.54 kilometer dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.

“Projek ini sudah bermula dimana kontrak sudah diberikan kepada kontraktor pada bulan Oktober lepas.

Advertisement

“Ia merupakan jalan baharu yang menghubungkan Jalan Pesisir dan Jalan Pan Borneo, yang seterusnya membuka sepenuhnya kawasan penempatan selagi gus merancakkan pembangunan di seluruh negeri,” katanya Aidel.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa lawatan ke tapak projek di Sadong Jaya hari ini.

Tambah Aidel, projek melibatkan pembinaan jalan dua lorong sehala JKR R5 Standard dari Jambatan Samarahan ke Jambatan Batang Sadong.

Manakala dari Batang Sadong ke Jambatan Batang Lupar adalah jalan satu lorong JKR Standard R5.

Pada lawatan itu, Aidel juga menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan konsultan untuk memastikan semua perkara berhubung pengambilan tanah dan bayaran pampasan diuruskan dengan baik.

Katanya, ia penting bagi memastikan setiap seksyen projek dilaksanakan dengan lancar.

“Pihak kontraktor sudah memasuki tapak dan memulakan kerja, kita tidak mahu ada perkara yang tidak diingini, ada halangan berlaku.

“Walau bagaimanapun, kerajaan akan membayar pampasan tanah kepada mereka yang terlibat,” ujar Adiel. — DayakDaily

Advertisement