Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong siap 2026

Uggah berucap di Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong di Gedong. Foto ihsan: Ukas.

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 20 Mei: Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong dengan kos RM250 juta dijadual siap dalam tempoh 3 tahun.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia melibatkan kerja menaiktaraf dan membina jalan premix Standard JKR R3 sepanjang 26 km.


Katanya, projek turut melibatkan pembinaan 2 buah jambatan konkrit di Sungai Simunjan Kanan sepanjang 71.8m dan Sungai Spaoh, Simunjan sepanjang 29.4m.

“Dengan adanya rangkaian jalan ini, jarak perjalanan dari Gedong ke Kampung Semalatong hanya 26km dengan masa perjalanan hanya mengambil 25 minit sahaja.

“Tambahan pula, jarak perjalanan dari dan ke Bandar Serian, Gedong dan Lebuhraya dipendekkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, hari ini.

Majlis telah dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebelum ini, menurut Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Dan Pelabuhan, perjalanan dari Gedong ke Kampung Semalatong melalui Jalan Gedong Simunjan adalah 54.2 km dan mengambil masa selama 55 minit.

“Tujuan projek ini adalah untuk menaik taraf rangkalan jalan sedia ada dari Gedong ke Kampung Semalatong dengan membina laluan jalan yang sempurna, selesa dan selamat.

“Pada masa sekarang, keadaan jalan sedia ada merupakan jalan pertanian yang melalui ladang kelapa sawit dan kebun,” katanya. — DayakDaily