Oleh Chris Bishop
KUCHING, JUN 23: Projek-projek dengan nilai keseluruhan lebih RM700 juta di Sarikei telah dilaksanakanvdengan baik, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, ia merangkumi projek pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik.
“Projek ini akan terus kita laksanakan dengan kaedah-kaedah norma baharu dengan prosedur operasi standard tertentu.
“Ini termasuklah kaedah kita menguruskan tenaga kerja yang datang dari luar Sarawak supaya kita dapat mengawal penularan Covid-19,” katanya.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media di Majlis Pecah Tanah ‘Integrated Administration Centre(IAC)’ di Sarikei hari ini.
Walaupun sedikit lewat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata kerajaan telah merangka pelan baharu agar semua projek diteruskan.
Katanya, projek IAC Sarikei yang bernilai lebih RM400 juta adalah satu-satunya projek bangunan berkonsepkan hijau di Sarikei dan bakal memiliki kemudahan-kemudahan moden.
“Bangunan setinggi 12 tingkat ini akan menempatkan pejabat-pejabat kerajaan seperti pejabat residen, jabatan tanah dan survei serta jabatan lain.
“Ini adalah sebahagian daripada program pembesaran bandar(Sarikei) dan bangunan IAC ini akan menjadi modul kepada bangunan lain yang bakal dibina disini,” ujar beliau.
Dengan terbinanya bangunan tersebut, Abang Johari percaya Sarikei telah mempunyai bangunan pintar dan ia bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan bandar pintar yang dilengkapi dengan kemudahan ICT.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa projek taman agro yang dilaksanakan di Sarikei dan Bintangor memiliki masa depan yang cerah.
Katanya, taman agro ini dibina dengan kaedah ICT agar aktiviti-aktiviti pertanian di kawasan tersebut dapat menggunakan kaedah internet of things(IOT).
“Ia bakal memiliki satu pusat data yang mengumpulkan maklumat-maklumat di dalam taman agro.
“Aktiviti pertanian di taman agro ini adalah berlandaskan ekonomi yang menghasilkan makanan dan buah-buahan.
“Dengan adanya IOT dan infrastruktur ICT, taman agro ini dihubungkan terus ke pasaran luar,” kata Abang Johari.—DayakDaily