Dr Hazland: Peranan Rela penting, pastikan kampung sentiasa selamat

Joli (tengah) bersama rakan-rakan di pondok Rela Kampung Muara Tebas.

KUCHING, Jun 23: ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni iktiraf peranan Rela sebagai salah satu pasukan barisan hadapan yang membantu pencegahan penularan Covid-19.

Katanya, peranan yang dimainkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) cukup besar khususnya dalam mengawal keselamatan kampung termasuk didalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke peringkat pemulihan kini.

“Pasukan Rela sentiasa memastikan keselamatan kampung terjamin dan selamat dari perkara yang tidak diingini seperti kecurian, pergaduhan, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin.


“Mereka melakukan rondaan secara bergilir-gilir pada setiap malam termasuk hujung minggu.

“Dalam tempoh pelaksanaan PKP sehingga ke tempoh pemulihan kini, Rela telah bekerjasama dengan polis bagi menjaga keselamatan kampung dengan melaksanakan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Tahunan kepada Platoon Rela Muara Tebas semalam.

Sementara itu, Ketua Platoon Rela Muara Tebas, Joli Kadir mengucapkan terima kasih kepada Dr Hazland di atas sumbangan dana.

Menurut Joli, ia bagi memastikan aktiviti rondaan Rela diteruskan dalam tempoh PKP Pemulihan.

“Beliau bukan sahaja memberi semangat kepada ahli-ahli Rela Kampung Muara Tebas, tetapi juga membantu dari segi kewangan.

“Ini untuk memastikan Pasukan Rela Muara Tebas terus bergerak dan menjaga keselamatan di sekitar Kampung Muara Tebas,” ujar Joli. — DayakDaily