KUCHING, 25 April: Projek naik taraf dan baik pulih Kompleks Sukan Lundu kini dalam proses reka bentuk yang melibatkan dua elemen penambahbaikan, kata Adun Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Menurut laporan TVS, Azizul berkata projek tersebut dijangka bermula pada hujung tahun ini selepas proses reka bentuk dan tender siap dalam masa terdekat.
“Sekiranya proses reka bentuk dan kosultansi siap tahun ini, tender pun dikeluarkan tahun ini mungkin ia akan bermula pada hujung tahun dan dijangka akan siap dalam masa setahun atau kurang (tempoh itu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Datuk Amar Jamilah Anu di Santubong semalam.
Mengulas lanjut, kata Azizul, sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek baik pulih fasiliti sukan di Lundu di bawah Projek Rakyat yang diluluskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, beberapa elemen penting telah diterapkan dalam projek tersebut khususnya padang di Stadium Lundu untuk memastikan ia menepati taraf piawaian antarabangsa.
“Antara elemen yang kita terapkan ialah kita ingin membesarkan padang Stadium Lundu supaya menepati piawaian FIFA, jadi kita dapat dapat menganjurkan sukan sukan bertaraf tinggi seperti Liga M atau Liga Premier.
“Ia termasuk pemasangan lampu limpah (dengan kapasiti piawaian antarabangsa) dan sebagainya, manakala elemen kedua adalah kita baik pulih stadium tertutup kita kerana fasiliti sukan di Lundu terutama di Stadium Mini sudah lama sejak dari tahun 1990-an,” katanya.
Dengan penambahbaikan itu, katanya, ia diyakini mampu menjadikan ia sebagai platform untuk melahirkan lebih ramai bakat berpotensi dalam sukan di Sarawak khususnya anak jati Lundu. — DayakDaily