Program vaksinasi di kawasan jauh di pedalaman dalam perancangan

Kelihatan Dr Johnny Pangkas pada forum ‘live’ Facebook bersama Timbalan Pengerusi SRDC Wong Ching Hung and ahli forum yang terdiri dari pakar perubatan.
Advertisement

KUCHING, 2 Mei: Kerajaan memang ada perancangan untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di kawasan yang jauh di pedalaman Sarawak.

Menurut pakar kesihatan perubatan awam Dr Johnny Pangkas, perancangan adalah dengan menghantar satu pasukan dari Jabatan Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk-penduduk di kawasan luar bandar.

“Memang ada perancangan untuk melakukan vaksinasi Covid-19 untuk penduduk yang jauh di pedalaman yang masih menggunakan sungai sebagai kaedah pengangkutan dan perjalanan darat yang panjang.

Advertisement

“Cadangannya adalah dengan menghantar satu pasukan bergerak yang dianggotai para doktor, jururawat dan pembantu perubatan ke rumah panjang yang jauh di pedalaman.

“Pasukan ini akan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk-penduduk di rumah panjang,” katanya pada forum ‘live’ Facebook bersama Timbalan Pengerusi Pejabat Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) Wong Ching Hung hari ini.

Tambah Dr Johnny, program vaksinasi tersebut adalah di dalam perancangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk tujuan itu, katanya yang juga Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, suntikan dos tunggal CanSino antara yang dicadangkan untuk diberi kepada penduduk yang diam jauh di pedalaman.

Dalam pada itu, Dr Johnny berkata klinik-klinik di kawasan pedalaman telah mengambil inisiatif dalam menyampaikan maklumat berhubung Covid-19 dan program vaksinasi kepada penduduk sekitar.

Katanya, ia adalah salah satu cara untuk memujuk masyarakat di luar bandar khususnya yang jauh di pedalaman untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin.

“Ceramah ini disertai para doktor dan telah diadakan seperti di Betong dan Saratok dan di daerah lain di negeri ini,” katanya.

Turut serta di dalam forum ialah Pakar Obstetrics dan Gynaekologi Hospital Sibu Dr Sherlyn Wong, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Bintulu Dr Rawa Bau dan Dato Ir Alice Jawan. — DayakDaily

Advertisement