Program Rekalibrasi Tenaga Kerja daftar 1,479 Pati sebagai pekerja asing sah

Dato Gerawat Gala

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Mei: Sejumlah 1,479 pendatang asing tanpa izin (Pati) telah didaftarkan di bawah sektor perladangan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Menurut Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala, ia adalah inisiatif kerajaan bagi menangani pekerja tanpa permit yang bekerja di Sarawak termasuklah di ladang-ladang sawit.

ā€œProgram ‘meregularisasi’ Pati sedia ada sebagai pekerja asing yang sah untuk digajikan oleh majikan yang layak tertakluk kepada syarat dan kriteria yang telah ditetapkan,ā€ kata Gerawat.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Adun Balingian Abdul Yakub Arbi di Komplek DUN di sini, hari ini.

Abdul Yakub bertanya apakah langkah dan tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan untuk menangani begitu ramai pekerja tanpa permit yang bekerja di ladang-ladang sawit di Negeri ini.

Tambah Gerawat yang juga Adun Mulu, kerajaan juga melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang (RP) yang melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.

Di bawah Program Rekalibrasi Pulang, katanya, seramai 635 Pati telah dihantar balik ke negara asal.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa seramai 95 Pati telah ditahan manakala 415 diusir semenjak Op Benteng mula dilaksanakan pada 22 Mei 2020 di Sarawak.

ā€œJabatan Imigresen juga membuat operasi mengejut di tapak pembinaan, kilang dan ladang-ladang untuk memeriksa samada pekerja asing mempunyai dokumen yang sah atau tidak.

ā€œSebanyak 232 operasi telah dijalankan di Sarawak dari Januari hingga April 2022 dengan tangkapan Pati seramai 1,047 orang dan seramai 17 majikan telah didakwa,ā€ ujar beliau.

Sementara itu, Gerawat berkata sejumlah 712 buah ladang telah diperiksa sepanjang tahun 2021 oleh Jabatan Tenaga Kerja Sarawak melalui Program Outreach ke ladang-ladang di kawasan pedalaman.

Manakala dari Januari sehingga April 2022 pula, sejumlah 567 ladang telah diperiksa di setiap pelosok negeri ini. ā€” DayakDaily