Program penyeragaman harga barangan keperluan dianggap berjaya, kata Nanta

Nanta (tengah) pada sidang media di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Julai: Program penyeragaman harga barangan keperluan asas di bandar dan luar bandar dianggap berjaya mencapai matlamatnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia hasil pemantauan menyeluruh yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa dan pelaksanaan sistem harga yang berdaya saing.

Advertisement

“Program ini diperkenalkan pada 2009 dan dianggap telah mencapai matlamatnya.

“Kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit dalam pelaksanaan program ini dan jumlah yang besar diperuntukkan ke Sarawak dan Sabah.

“Penduduk di luar bandar boleh membeli barangan keperluan dengan harga yang sama seperti di bandar, tidak terbeban dengan kos pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Program Citarasa Malaysia@Bumi Kenyalang di VivaCity Mall hari ini.

Menurut Nanta, kos pengangkutan barangan keperluan asas khususnya ke luar bandar adalah ditanggung oleh kerajaan dan ia adalah konsep sebenar program tersebut.

“Sebagai contoh harga barangan keperluan di Pekan Song turut dinikmati penduduk yang tinggal jauh di pendalaman seperti di Hulu Engkuah, Kapit.

“Jika menggunakan jalan air (sungai) akan mengambil masa 3 hingga 4 jam dan ini memerlukan kos yang besar.

“Jadi, program penyeragaman harga adalah supaya golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar dapat membeli barangan dengan harga murah, mereka tidak menanggung kos pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta yang juga MP Kapit, yakin harga barangan di luar bandar boleh dikurangkan lagi setelah kerajaan menyiapkan banyak projek jalan.-DayakDaily

Advertisement