Program pembangunan harus utamakan ekosistem — Dr Hazland

Dr Hazland Abang Hipni
Advertisement

KUCHING,13 April: Langkah-langkah pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem perlu diambil kira dalam mengurus pembangunan untuk memastikan pembangunan yang mampan.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni, masyarakat juga perlu bersama mencari jalan supaya ekosistem bumi menjadi stabil di samping kemajuan manusia dapat dicapai.

“Usaha menangani masalah alam sekitar pula tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi ia perlu didokong bersama oleh masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Tambah Dr Hazland, agenda kelestarian alam sekitar adalah interaksi bertanggungjawab dengan alam sekitar untuk mengelak pengurangan atau penurunan sumber semula jadi, serta kualiti persekitaran jangka panjang.

Dalam konteks yang sama, katanya, kelestarian alam sekitar merupakan keupayaan untuk meningkatkan kualiti hidup manusia di dalam ekosistem sokongan bumi.

Amalan kelestarian alam sekitar juga sangat membantu dalam memastikan keperluan penduduk masa kini dapat dipenuhi tanpa menjejaskan kemampuan generasi akan datang bagi memenuhi keperluan mereka.

Ujar beliau, tanpa menggunakan kaedah kelestarian alam sekitar dan daya maju, jangka hayatnya akan pendek dan tiadanya jalan penyelesaian.

“Kelestarian tidak hanya dikaitkan dengan alam sekitar, tetapi juga dengan persekitaran sosial dan ekonomi.

“Ia mempunyai tiga tunjang utama melibatkan pembentukan ekonomi, sosial dan alam sekitar yang bertujuan menjamin integriti planet dan untuk meningkatkan kualiti hidup. — DayakDaily

Advertisement