Program Kepolisian Komuniti bantu cegah penularan Covid-19, kata Mawan

Mawan (dua dari kanan) menerima cenderamata pada Perasmian Mesyuarat Tahunan Persatuan Tuai Rumah Daerah Pakan.
Advertisement

KUCHING, 16 Ogos: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom menyeru tuai-tuai rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menyokong Program Kepolisian Komuniti.

Katanya, ia adalah program penguatkuasaan kepada langkah pencegahan yang lebih tegas dan berkesan bagi membendung penularan penyakit seperti Covid-19, rabies, malaria dan demam denggi.

“Pemimpin di peringkat akar umbi perlu memantau kemasukan pendatang tanpa izin ke kampung dan rumah panjang kerana bimbang mereka akan membawa virus Covid-19 dan menjangkiti penduduk tempatan.

Advertisement

“Untuk mencapai matlamat ini, semua tuai rumah, JKKK dan anggota masyarakat perlu bersatu-padu dalam usaha mengekang penularan macam-macam penyakit, terutama ketika seluruh dunia kini diancam Covid-19,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Mesyuarat Tahunan Persatuan Tuai Rumah Daerah Pakan di Dewan Masyarakat Pakan, semalam.

Dalam pada itu, Mawan mahukan tuai-tuai rumah memainkan peranan dalam memajukan dan mengambil berat soal masyarakat.

Menurut beliau, sesebuah komuniti bukan sekadar perlu maju dari aspek pembangunan fizikal tetapi tidak kurang mustahaknya aspek pendidikan dan keselamatan.

“Cabaran yang kita hadapi pada masa sekarang dan khususnya pada masa hadapan amat getir.

“Jika tuai-tuai rumah kurang mengambil berat dengan anak-anak buah dalam tanggungannya, mungkin ada masalah untuk kita lebih maju,” ujar Mawan.

Beliau turut menggesa tuai-tuai rumah di Pakan agar mengeratkan perpaduan dan kerjasama  supaya segala rancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Pakan menurutnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan kerana kerajaan tidak mengabaikan mana-mana kawasan.-DayakDaily

Advertisement