Tiada surat tuntutan RM10 juta dari PKR, kata MP Puncak Borneo

Willie (empat dari kanan) menyerahkan cek bantuan berjumlah RM80,000 kepada pengerusi Jawatankuasa Gereja Kampung Seratau, Ilbaes Edem.

Oleh Chris Bishop

SIBURAN, 16 Ogos: MP Puncak Borneo Willie Mongin memaklumkan bahawa beliau belum menerima surat tuntutan bayaran RM10 juta daripada PKR.

Jikapun ada, katanya, perkara tersebut akan ditentang di mahkamah.


“Setakat ini, saya tak terima apa-apa surat daripada pihak PKR (Parti Keadilan Rakyat).

“Jika saya terima, saya akan terkejut sebab saya tak pernah menandatangani bon atau apa-apa dokumen dengan PKR.

“Jika mereka (PKR) ambil tindakan, saya akan lawan di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan cek kerajaan pusat di Balai Raya Kampung Seratau di sini, hari ini.

Pada Mac lepas, PKR mengambil keputusan untuk menyaman dan menuntut bayaran RM10 juta daripada 12 wakil rakyat PKR yang bertindak melompat parti.

Menurut PKR, saman terbabit berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan
sebagai calon pada Pilihan Raya Umum 2018.

Setiap wakil rakyat terbabit perlu membayar sebanyak RM10 juta sekiranya dipecat sebagai ahli, melompat ke parti lain atau meninggalkan parti tetapi kekal sebagai calon bebas.

Selain Willie, 11 yang lain adalah MP Saratok Ali Biju, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk
Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Tiga ADUN pula ialah Hilman Idham (Gombak Setia), Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Chong Fat Full (Pemanis).

Dalam pada itu, Willie yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, beliau kini masih belum menyertai
mana-mana parti.

“Namun, saya adalah wakil rakyat mesra kepada Perikatan Nasional (PN) dan juga mesra kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Saya akan terus memberi sokongan kepada kerajaan PN dan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri iaitu kerajaan GPS,” ujar beliau.

Terdahulu di majlis itu, Willie telah menyerahkan dana bantuan berjumlah RM80,000 kepada Gereja St Francis Xavier Kampung Seratau dan
RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) St Francis Xavier Seratau. — DayakDaily