LUNDU, April 7: Program Jualan Sentuhan Rakyat yang julung kali diadakan di kawasan Tanjong Datu diyakini mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat di konstituensi berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, program seumpamanya juga mendorong para peniaga untuk turut serta menurunkan harga barangan keperluan asas pada masa akan datang.
Menurut beliau, program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu juga dapat membantu rakyat bagi mendapatkan barangan berkualiti pada harga murah.
“Menerusi program jualan sentuhan rakyat ini, masyarakat setempat boleh memperoleh pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara lima sen hingga RM1 lebih murah.
“Harga itu ialah bagi produk atau setiap kilogram berbanding yang ditawarkan dalam pasaran semasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Program Jualan Sentuhan Rakyat itu diadakan di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Lundu di sini.
Jamilah turut menyerahkan baucar RM100 kepada 30 golongan asnaf yang terpilih dari kawasan Tanjong Datu.
Sementara itu, Jamilah menambah, program tersebut juga mampu mengatasi pembabitan orang tengah yang mengaut untung daripada manipulasi dan monopoli harga.
Jelasnya, program sama juga berjaya mewujudkan persaingan harga yang akan menguntungkan rakyat kerana membolehkan mereka membeli barangan pada harga jauh lebih rendah.
“Apabila ada tawaran harga barang lebih murah seperti melalui program ini, saya harap ada pihak lain seperti pasar raya dan kedai runcit turut menurunkan harga barangan kelak,” ujarnya lagi. — DayakDaily