Program ‘Jom Ke Institut Pengajian Tinggi’ cetus aspirasi melanjutkan pelajaran di universiti

Dari kiri: Linda, Christian, Garrey dan Stephenia ketika ditemubual DayakDaily di Dewan Makan, IPG TAR Kota Samarahan.

Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Mac 20: Teruja dengan suasana kehidupan kampus, sekumpulan pelajar lepasan SPM 2018 dari SMK Belaga dan SMK Bakun bertekad untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Mengikuti program ‘Jom Ke Institut Pengajian Tinggi’ yang dianjurkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Belaga dan Murum, empat pelajar dari sekolah tersebut buat pertama kali nya menjejakkan kaki di Unimas.


Peluang melawat Fakulti Perubatan semasa lawatan tersebut mencetus inspirasi untuk mereka melanjutkan pelajaran di Unimas.

“Sejurus melepasi pondok pengawal di pintu masuk utama Unimas, kami terus dibawa melawat di sekitar kampus.

“Kampus Unimas sangat indah dan selepas melawat Fakulti Perubatan, hati saya tergerak untuk melanjutkan pelajaran di Unimas,” kata Stephenia Kedoh yang merupakan pelajar SMK Bakun.

Berkongsi aspirasi yang sama, Linda Adau dan Christian Chau Lasa dari SMK Belaga kagum dengan suasana kampus Unimas.

Linda dan Christian menaruh harapan yang Unimas satu hari nanti akan menjadi universiti buat mereka merealisasikan cita-cita masing masing.

Buat Garrey Talan dari SMK Bakun yang meminati bidang kejuruteraan mekanikal, beliau berhasrat untuk memohon melanjutkan pelajaran di Unimas dalam waktu terdekat ini.


Sebahagian dari 80 peserta program ‘Jom Ke Institut Pengajian Tinggi’ dari SMK Belaga dan SMK Bakun berehat di Dewan Makan IPGTAR Kota Samarahan.

Stephenia yang berbangsa Kayan, Linda (Sekapan), Christian (Kenyah) dan Garrey (Kenyah) antara 80 peserta yang mengikuti siri kelima program ‘Jom Ke Institut Pengajian Tinggi’.

Terdahulu rombongan ini dibawa melawat ke kampus utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan.

Program yang berlangsung dari Mac 18 sehingga 21 memberi pendedahan awal kepada pelajar berkenaan dengan kursus yang ada ditawarkan di setiap universiti/kolej dan syarat kelayakan.

“Ini adalah langkah awal untuk kita memilih kursus yang bersesuaian dengan keputusan SPM,” tambah Stephenia yang menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di jurusan komputer.

Rombongan ini bertolak menggunakan dua buah bas dari Belaga pada malam Isnin lepas dan sampai di Kuching pagi kelmarin.

Selain UiTM dan Unimas, pelajar ini juga akan dibawa melawat ke Institut Perguruan Tun Abdul Razak, Politeknik Kuching, Centexs, PPKS dan ICATS.

Sepanjang tempoh lima tahun penganjuran program, dianggarkan 500 pelajar dari Daerah Belaga telah berjaya melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi mahupun kolej di seluruh negara. — DayakDaily