Program interaksi antara masyarakat perlu diperkasakan

Dr Abdul Rahman (berdiri, lapan dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 7: Program interaksi antara masyarakat perlu diperkasakan lagi dalam usaha memupuk keharmonian sekali gus melahirkan generasi muda sihat.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, peranan untuk memperkasakan interaksi tersebut harus dimainkan oleh pertubuhan dan kepimpinan kampung.

Advertisement

“Saya menyarankan semua pihak dapat mengatur aktiviti secara berterusan supaya kegiatan yang boleh diceburi penduduk kampung diadakan secara berterusan.

“Aktiviti yang diadakan juga perlu menyeluruh dan melibatkan setiap lapisan masyarakat,” katanya semasa berucap dalam Program Perasmian Pertandingan Street Soccer Dan Sukaneka Keluarga anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Boyan di sini hari ini.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti ‘street soccer’, mewarna, karaoke, boling kelapa dan mengisi air dalam botol.

Dr Abdul Rahman menambah, usaha sedemikian penting bagi meningkatkan semangat kejiranan dan mempertahankan budaya gotong-royong di kalangan masyarakat.

“Budaya gotong-royong seperti membersih tanah perkubuhan, kenduri dan penganjuran aktiviti sudah menjadi tradisi masyarakat kita dan ia perlu terus dikekalkan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement