KUCHING, Mei 13: Kerajaan negeri akan mengadakan program literasi digital seperti ‘hackathon’ di seluruh negeri, untuk melatih khususnya belia negeri ini dalam kemahiran digital seiring dengan agenda ekonomi digital Sarawak.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ‘hackathon’ adalah acara dimana pasukan bekerjasama menggunakan program komputer untuk menyelesaikan masalah.
“Melalui program ini, kita dapat melatih serta melibatkan masyarakat khususnya belia agar mempunyai keupayaan di dalam penyelesaian masalah dan bekerja secara digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Program HackWeekend sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Sementara itu, Program HackWeekend adalah untuk membawa bersama pakar domain bagi prototaip penyelesaian kepada satu masalah domain hanya dalam tempoh 48 jam.
Sebanyak 12 pasukan terlibat di dalam program tersebut, di mana mereka akan bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah dalam tiga aspek penting ekonomi digital Sarawak iaitu pertanian, pelancongan dan bandar pintar.
Pada hari kedua IDECS, pasukan ini akan membentangkan prototaip yang boleh dilaksanakan untuk digunapakai oleh kerajaan negeri.
“Budaya inilah yang kita mahu terapkan dan berharap akan membangunkan budaya ini di kalangan rakyat kita kerana ia selari dengan agenda Ekonomi Digital,” kata Awang Tengah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan timbalannya, Dr Sabariah Putit. — DayakDaily