KUCHING, 20 April: Program Celik Sedia Urus Risiko Surirumah (SURI) membantu mencegah atau mengurangkan kemungkinan kebakaran, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
“Produk Celik SURI diperkenalkan sebagai seorang individu dalam masyarakat yang bergabung untuk memberi pendidikan berkaitan keselamatan kebakaran kepada orang awam.
“Golongan ini memberi perkhidmatan pemeriksaan keselamatan kebakaran bagi mencegah atau mengurangkan kemungkinan kebakaran yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Hari Raya Aidilfitri di Mydin Vista Tunku, Petra Jaya hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Sarawak) Dato Khairudin Drahman.
Tambah Fatimah, penganjuran kempen adalah bertujuan untuk memperluaskan kesedaran awam akan kepentingan pencegahan kebakaran dan tindakan awal sekiranya berada didalam kecemasan kepada masyarakat umum.
“Kesedaran keselamatan kebakaran seharusnya dipupuk dari rumah lagi dan sejak usia awal lagi.
“Untuk itu, Bomba Sarawak telah melaksanakan program-program pendidikan keselamatan kebakaran seperti Kelab 3K di peringkat tadika,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Fatimah menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melakukan semakan sebelum meninggalkan rumah samada untuk bercuti, berziarah dan sebagainya.
“Elakkan diri kita daripada terjebak ke dalam tragedi kebakaran atau kemalangan yang boleh menyebabkan kita atau ahli keluarga kita menyesal,” ujar beliau.
Pada kali ini seramai 50 orang kanak-kanak kelab 3K hadir bersama guru dan ibu bapa mereka untuk mengikuti kempen ini. — DayakDaily