KUCHING, Jun 30: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak mengingatkan pemimpin dan pertubuhan belia di negeri ini untuk mengadakan program pembangunaan belia yang tidak ada memisahkan belia mengikut pandangan fahaman politik, kepercayaan agama dan latar belakang bangsa mereka.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau mahu program pembangunan belia tersebut bebas semua perkara terbabit dan hendaklah menumpukan kepada membantu belia menjadi insan atau warganegara yang berjaya dan boleh dibanggakan negeri ini pada masa depan.
“Apabila berbicara berkenaan perkara (program pembangunan belia) ini, ianya melepasi perbezaan politik, ianya melepasi perbezaan agama dan melepasi perbezaan bangsa. Samada adik (belia) suatu hari nanti akan menjadi pemimpin politik bagi parti sebelah ini atau sebelah sana, itu bukan masalah kita, samada adik (belia) menganut Kristian, Buddha atau Islam itu juga bukan masalah kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Belia Aidilfitri 2018 anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata selain itu program pembangunan belia yang dianjurkan pemimpin dan pertubuhan belia di negeri ini juga perlu mengelakkan dari cenderung memisahkan belia berdasarkan latar belakang bangsa mereka atau samada belia terbabit dari keluarga berada serta menyisihkan belia yang cacat.
“Ini kerana sesuatu perkara boleh berubah dalam semalaman, kita dapat lihat politik pun berubah sekelip mata, dahulu yang menjadi tampuk kerajaan Malaysia ialah Barisan Nasional (BN), hari ini yang menjadi pucuk pimpinan atasan negara ialah Pakatan Harapan (PH), kita terpaksa menerima hakikat seperti itu,” katanya.
Menurutnya, kalangan belia yang datang dari keluarga yang berada juga boleh berubah nasib mereka dengan sekelip mata dan tidak semestinya mereka terus kekal menjadi golongan yang berada apabila ibu dan bapa mereka sudah meninggal dunia.
Abdul Karim berikutan itu mahu program pembangunan belia negeri ini hendaklah bagi semua belia tanpa mengira perbezaan fahaman politik, agama, bangsa, miskin atau kaya dan program menumpukan kepada memupuk semangat dalam diri mereka untuk berubah dan keluar dari sebarang belengu yang tidak baik dan menjadi insan yang berjaya. — DayakDaily