Produk tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta dirampas di Pelabuhan Senari

Produk-produk tidak berdaftar dirampas di Kuching yang bernilai RM7.4 juta.

KUALA LUMPUR, Jan 16: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah berjaya merampas beberapa jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta di Kuching.

Menurut satu kenyataan media semalam, rampasan ini adalah hasil daripada saringan pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching dan seterusnya membawa kepada satu serbuan yang dilakukan pada Januari 8 di gudang penyimpanan di Kuching.

Senarai produk-produk tidak berdaftar yang telah dirampas.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui sejumlah lebih 100 ribu kotak produk-produk tidak berdaftar. Kesemua produk ini dipercayai didalangi oleh sindiket dan dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak.


“KKM sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dalam sindiket ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

KKM juga memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta merta memandangkan produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.

Sebahagian jenama produk-produk tidak berdaftar dirampas di Kuching yang bernilai RM7.4 juta.

Orang ramai disaran untuk menyemak status pendaftaran sebelum membeli sesuatu produk kesihatan. Produk kesihatan berdaftar boleh dikenalpasti dengan meneliti ciri-ciri seperti nombor pendaftaran MAL serta label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan produk kesihatan serta testimoni pengguna yang membuat tuntutan yang tidak munasabah.

Selain itu, orang ramai dan pihak media juga digalakkan untuk melaporkan serta menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 0378413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran. — DayakDaily