Presiden UPP: Masih dalam perbincangan ‘positif’ dengan SUPP

Wong (dua dari kiri) menyampaikan piala kepada golongan kelainan upaya yang memenangi Pusingan Kelayakan Malaysia Timur- Kejohanan Catur Inggeris Antarabangsa Lions Malaysia Pertama Bagi Golongan Kelainan Upaya.
Advertisement

KUCHING, Mac 4: Parti Rakyat Bersatu (UPP) ketika ini masih berbincang dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mengenai cadangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg supaya kedua-dua parti terbabit bergabung dan setakat ini menyifatkan perbincangan itu sebagai positif.

Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata demikian ketika mengulas mengenai Ketua Menteri yang sudah berulang kali mencadangkan kedua-dua parti itu yang ahlinya majoriti kaum Cina supaya bergabung bagi menguatkan Barisan Nasional (BN) Sarawak menjelang pilihanraya umum yang akan tiba tidak lama lagi.

“Kami (UPP) masih dalam proses membincangkannya (dengan SUPP) diperingkat kepimpinan tertinggi kedua-dua parti. Bagaimanapun perbincangan terbabit setakat ini boleh dikatakan sebagai positif dari sudut kami dalam UPP,” katanya selepas merasmikan penutupan dan menyampaikan hadian kepada pemenang Pusingan Kelayakan Malaysia Timur Kejohanan Catur Inggeris Antarabangsa Lions Malaysia Pertama Bagi Golongan Kelainan Upaya anjuran Kelab Lions Wilayah 1, Daerah 308-A2 di pusat beli belah Vivacity Megamall, di sini, hari ini.

Advertisement

Wong yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang berkata tiada tempoh masa yang ada ditetap Abang Johari bagi kedua-dua parti tersebut memuktamatkan perbincangan mengenai pengabungan itu, namun UPP berharap perbincangan terbabit akan berterusan positif antara kedua-dua parti.

Manakala mengenai permintaan SUPP supaya ahli UPP kembali mohon semula menjadi ahli SUPP bagi memudahkan proses pengabungan kedua-dua parti, Soon Koh berkata pihaknya akan dapat menyelesaikan masalah itu kerana ahli UPP ketika ini adalah ramai bekas ahli SUPP yang dipecat keahlian mereka dari parti itu.

“Kami telah dipecat dari parti (SUPP), jadi ini masalah yang berkaitan teknikal (dari segi keahlian). Kami bagaimanapun akan mencari penyelesaiannya,” katanya sambil menegaskan masih menyerahkan sepenuhnya kepada Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak bagi memutuskan mengenai usaha pengabungan kedua-dua parti itu.

Sebelum ini, berikutan masalah dalam kepimpinan SUPP, telah menyebabkan Wong dan penyokongnya termasuk yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menubuhkan UPP dan menjadi parti pecahan bagi SUPP. — DayakDaily

Advertisement